Feb 13, 2011

Renungan Kehidupan,,



Manusia sering menghadapi pertarungan dalam dirinya sehinggalah beliau kalah atau menang, atau terus menghadapi pertarungan itu. Pertarungan ini adalah pertarungan yang sengit dan akan berterusan sehinggalah beliau menemui ajal. 



Firman Allah SWT:
❝ Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). ❞
(Asy-Syams : 7-10)



Sabda Rasulullah SAW:



❝ Fitnah (cubaan) akan dibentangkan kepada manusia seperti tikar, satu demi satu. Mana² hati yang dipengaruhinya tercatitlah di hati itu suatu titik hitam. Mana² hati yang mengingkarinya tercatitlah pada hati itu satu titik putih, sehinggalah hati itu menjadi salah satu dari dua jenis hati; sama ada putih seperti batu putih yang tidak akan dicacatkan oleh sebarang fitnah atau menjadi hati yang hitam pekat, tidak mengenal maaruf dan mengingkari sebarang kemungkaran. ❞
[Hadith riwayat Muslim daripada Hudhaifah Ibn Yaman]

Dalam menghadapi pertarungan jiwa ini manusia terbahagi kepada tiga golongan:



❶ Golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsu mereka. Golongan ini tunduk kepada dunia dan kekal dalam keduniaan. Inilah golongan orang² kafir dan orang² yang menuruti cara mereka, iaitu orang² yang melupakan Allah, lantas Allah melupakan mereka. 

Dalam al-Quran Allah telah mensifatkan golongan ini dengan firman-Nya:
❝ Maka pernahkah kamu melihat orang² yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat), maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran. ❞
(Al-Jaatsiyah : 23)

❷ Golongan kedua ialah golongan yang berjihad melawan dirinya, bertarung memerangi hawa nafsu. Kadangkala mereka menang dan kadangkala mereka kalah. Apabila mereka tersalah mereka bertaubat, apabila mereka melakukan dosa mereka menyesal dan memohon ampun daripada Allah.

Firman Allah SWT:
 
❝ Dan (juga) orang² yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui. ❞
(Aali-Imran : 135)

Golongan inilah yang disyariatkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:

❝ Semua anak Adam itu bersalah dan paling baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat (daripada kesalahannya). ❞
[Hadith riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah]

❸ Golongan ketiga ialah golongan orang² maksum, seperti para Rasul dan Nabi².
Dalam hal ini telah diriwayatkan daripada Wahab bin Munabbih beliau berkata bahawa iblis telah menemui Yahya bin Zakaria lantas Yahya bin Zakaria berkata kepada iblis: 
”Ceritakanlah kepadaku tentang tabiat anak² Adam di sisi kamu.” 
Iblis pun berkata:
“Segolongan mereka ialah orang² yang seperti kamu, mereka itu maksum, kami tidak mampu sedikitpun menggoda mereka dan golongan kedua ialah golongan yang menjadi seperti bola di tangan anak² kamu. Hawa nafsu golongan ini telah menolong kami menawan mereka dan golongan ketiga pula ialah golongan yang amat sukar bagi kami, kami menemui salah seorang daripada mereka hinggalah kami berjaya mencapai apa yang kami kehendaki, tetapi kemudian beliau segera beristighfar, dengan istighfar itu beliau telah merosakkan apa yang telah kami dapati darinya, kami tidak pernah putus asa dari (menggoda)nya dan kami tidak akan mendapat kehendak kami daripadanya.”

....Renungkan dan muhasabahlah diri kita.
Wallahua'alam.

No comments:

Post a Comment